Berita

Kajian Lembangan Sungai Seluruh Negara di Peringkat Akhir

pena_chu

JERANTUT, 14 Februari 2021 - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang melakukan kajian lembangan sungai seluruh negara bagi mengatasi implikasi banjir terutama di kawasan bandar dan penempatan penduduk.

KASA akan turut mencari kaedah penyelesaian masalah itu secara menyeluruh dengan menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) alam sekitar yang ketat dalam setiap pembangunan.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata, apabila kajian itu siap sepenuhnya tidak lama lagi, semua pelan pembangunan di seluruh negara perlu mematuhi SOP ditetapkan bagi mengatasi banjir.

"Sehingga kini, hanya beberapa negeri seperti Pahang, Kelantan dan Perak masih melakukan kajian dan belum menghantar laporan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika meninjau tebing parit besar yang runtuh di perumahan Taman Wira, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Zuridan Mohd Daud; ADUN Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin dan Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris.

Tuan Ibrahim berkata, kajian menyeluruh turut dilakukan di Jerantut berikutan kekerapan berlaku banjir kilat dan tanah runtuh di daerah ini.

"Tebing parit besar yang mula runtuh di Perumahan Taman Wira sejak musim tengkujuh Disember lalu dan kini bertambah buruk dalam seminggu ini perlu ditangani segera.

"Kerajaan negeri memperuntukkan RM250,000 untuk membaiki segera keadaan ini agar tidak menjejaskan perumahan penduduk," katanya.

Beliau berkata, kementeriannya turut memperuntukkan RM1.5 juta bagi menyelesaikan masalah di sepanjang aliran lembangan sungai keseluruhan bandar Jerantut dan kawasan sekitarnya berdasarkan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Jerantut.

Sementara itu, Ahmad Nazlan berterima kasih kepada menteri (KASA) kerana bertindak cepat bagi mengatasi kebimbangan penduduk di taman itu.

SUMBER : Berita Harian Online

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 11 kali.


Kembali ke Atas