Berita

Masyarakat Orang Asli Jangan Dipinggirkan - Titah Tengku Hassanal

admin

JERANTUT. 30 April 2019 Bersamaan 24 Syaaban 1440H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bercemar duli berangkat pada Majlis Pengurniaan Sumbangan Kepada Masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Tiang, di sini, hari ini.

Seramai 60 orang Asli tersenarai sebagai penerima sumbangan peribadi keluarga diraja Pahang menerusi Yayasan Istana Abdulaziz dan sumbangan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda disambut oleh wakil rasmi Menteri Besar Pahang, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri bin Ngah dan barisan jawatankuasa sambutan daerah yang diketuai Pegawai Daerah Jerantut, YM Tengku Khairul Zahirah Kamaludin.

Baginda bertitah, masyarakat orang Asli tidak seharusnya dipinggirkan dalam arus pembangunan di negara ini.

“Alhamdulillah, saya dimaklumkan masyarakat orang Asli di sini…tidak ketinggalan dari menikmati pelbagai kemudahan asas serta nikmati pembangunan yang disediakan oleh kerajaan.

“In sya Allah, bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu golongan ini ( orang Asli) menjalani kehidupan seharian khususnya sebagai persiapan bulan puasa yang tidak lama lagi,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Sumbangan kepada penduduk orang Asli Kampung Sungai Tiang, di sini, hari ini.

Tengku Hassanal bertitah, mengingatkan kerajaan negeri Pahang dan agensi berkaitan orang Asli perlu berterusan melakukan kerjasama dalam memberikan keperluan seperti penduduk luar bandar yang lain.

“Kerajaan negeri Pahang melalui Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang sentiasa memberikan perhatian kepada kebajikan mereka khusus kepada yang memeluk Islam.

“MUIP telah menyediakan peruntukan dan sumbangan bagi membantu dalam meringankan beban golongan yang memerlukan dan layak menerima bantuan,” katanya.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’  Abd Aziz bin Haji Mat Kiram dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Abd Rahim Muda dan Ahli Parlimen Jerantut, YB. Dato’ Haji Ahmad Nazlan Idris.

Turut hadir memuliakan keberangkat Pemangku Raja Pahang itu ialah Kerabat-kerabat bergelar, Ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang, dan Ketua-ketua jabatan daerah Jerantut.

Manakala pada sebelah petang, baginda bercemar duli berangkat menemui tiga keluarga, penerima sumbangan dalam program ziarah kasih diraja di Kampung Padang, Kuala Tahan sebelum berangkat ke Majlis Ramah Mesra Bersama-sama Rakyat Kampung Kuala Tahan.

Mewarnai lawatan kerja sehari baginda ke daerah Jerantut ialah Majlis Ramah Mesra Bersama-sama Rakyat iaitu penduduk-penduduk Kampung Kuala Tahan.

Baginda turut menyaksikan persembahan permainan rakyat yang disertai penduduk kampung, malah baginda turut sama rakyat bermain gasing, congkak dan menyumpit.

Tengku Hassanal turut mengampuni limpah perkenan menyempurnakan pengurniaan kepada pemenang-pemenang permainan tradisional itu.

Manakala pada sebelah malam, baginda berangkat ke majlis tahlil, doa selamat dan solat maghrib bersama rakyat di Masjid Kuala Tahan.

Sumber: http://www.dirajapahang.my/por...

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 28 kali.


Kembali ke Atas