Berita

Ribut membadai Kampung Labu - Rumah warga emas rosak dihempap pokok

pena_chu

JERANTUT, 20 Oktober 2020 - Sebuah rumah milik seorang warga emas, Abdul Karim Ghani, 91, rosak dihempap pokok durian dan pokok petai dalam kejadian ribut di Kampung Labu, mukim dekat sini kelmarin.

Kejadian ribut selama 15 minit yang bermula pukul 6 petang itu menyebabkan dua batang pokok berdekatan kediaman mangsa tumbang menghempap bahagian ruang hadapan dan dapur rumah berkenaan.

Walaubagaimanapun warga emas itu terselamat kerana berada di rumah saudaranya yang tinggal berdekatan semasa kejadian.

Penghulu Mukim Tembeling Tengah, Zulkefly Zaadun Zabir berkata, beliau dimaklumkan oleh ketua kampung selepas kejadian itu dan menziarahi mangsa bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Tahan, Mohd Zakhwan dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Ugama Islam Pahang (Muip) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) daerah ini.

"Ruang bahagian hadapan dan dapur rumah Abdul Karim mengalami kerosakan akibat ditimpa pokok durian dan petai.

"Saya bersyukur kerana warga emas itu selamat dan tidak ada kediaman penduduk lain di kampung ini yang rosak," katanya di Kampung Labu dekat sini hari ini.

Menurut Zulkefly, kerja pembersihan pokok yang tumbang dilakukan oleh APM dan penduduk di situ secara bergotong-royong.

Sempena lawatan itu, Mohd Zakhwan, JKM dan Muip turut menyampaikan sumbangan wang ihsan dan keperluan dapur kepada Abdul Karim untuk meringankan bebannya dalam tempoh pemulihan selepas kejadian itu.

Sementara itu, Mohd Zakhwan yang bersyukur kerana kejadian itu tidak membabitkan nyawa berkata, pejabat perkhidmatan masyarakat DUN Tahan telah menyampaikan sumbangan keperluan dapur, wang ihsan termasuk bantuan yang sama daripada pejabat JKM dan Muip daerah ini.

"Kita akan memantau kebajikan mangsa ini termasuk membantu membaik pulih kediamannya berasaskan nilai kerosakan dengan kerjasama agensi kerajaan daerah ini dan Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung di sini.

"Memandangkan fenomena peralihan monsun dan cuaca tidak menentu menjelang musim tengkujuh pada akhir tahun menyebabkan kerap berlaku kejadian ribut dan penduduk diminta berwaspada serta menjaga keselamatan keluarga masing-masing,"ujarnya.

SUMBER : Haris Fadilah Ahmad, PahangStory

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 14 kali.


Kembali ke Atas