Berita

Zon 2 Juara Keseluruhan Masisupa Kali Ke-35

admin


JERANTUT, 01 April 2019 - Zon 2 muncul juara keseluruhan Kejohanan Majlis Sukan Dan Ilmiah Sekolah-Sekolah Agama Negeri Pahang (Masisupa) Kali Ke-35 di Sekolah Menengah Agama (SMA) Pulau Tawar, Jerantut hari ini. 

Lima buah sekolah yang mewakili zon berkenaan iaitu SMA Pulau Tawar, SMA Al-Ihsan, SMA Al-Irsyad, SMA Maran dan Maahad Sultan Ahmad Shah berjaya meraih 17 pingat emas, 20 perak dan sembilan gangsa.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Tengku Muda Pahang merangkap Pengerusi Jumaah Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Hadir sama, isteri baginda, Cik Puan Nur Bahiyah Mohd Akip; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang. Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Tengku Abdul Rahman bertitah, penganjuran kejohanan tersebut merupakan peluang terbaik untuk pelajar mempamerkan kebolehan mereka.

"Pelajar-pelajar ini bukan sahaja mendalami ilmu agama semata-mata sebaliknya mereka turut mempunyai bakat dalam sukan.

"Ini merupakan platform terbaik untuk mereka ketengahkan bakat dalam acara sukan yang dipertandingkan dan saya lihat mereka mampu bersaing dengan pelajar dari sekolah harian biasa," katanya.

Baginda turut mencadangkan agar sukan memanah berkuda dapat diperluaskan bagi menghidupkan sunah Nabi Muhammad SAW," ujarnya.

Majlis penutup kejohanan tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran para pegawai dan pemain pasukan bola sepak Liga Super Pahang 2019.

Sumber : KOSMO Online

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 38 kali.


Kembali ke Atas