Berita

1,795 Penduduk Lakukan Saringan Bersasar di Jerantut

pena_chu

JERANTUT, 03 Julai 2021 - Seramai 1,795 penduduk di daerah Jerantut telah melakukan saringan bersasar selepas empat hari dilaksanakan bermula 29 Jun lalu bagi mengesan jangkitan COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jerantut, Puan Khairun Nissa Aris berkata, saringan ini memfokuskan kepada beberapa lokaliti dan kawasan 'hotspot' bergantung kepada jumlah jangkitan di daerah berkenaan.

Antara lokaliti yang telah melakukan saringan pengesanan COVID-19 itu ialah Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Bandar Baru, Kampung Mat Kilau, Kampung Melayu Jerantut, Taman Embun Jaya, Perumahan Sungai Jan, Rumah Kilat Sungai Jan, kawasan pasar dan kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bandar Jerantut.

"Kesemua pihak memberikan kerjasama walaupun saringan ini dilakukan secara sukarela dengan menggunakan beberapa kaedah termasuklah pandu lalu bagi memudahkan urusan," katanya ketika dihubungi oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini hari ini.

Kesemua agensi terlibat termasuklah pasukan polis, Rela, tentera, Angkatan Pertahanan Awam (APM) turut bersepadu melakukan sekatan jalanraya (SJR) bagi memastikan penduduk mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Beberapa jabatan lain termasuklah Jabatan Penerangan dan Jabatan Perpaduan turut bekerjasama dalam memastikan maklumat dan perkembangan terkini sampai kepada penduduk.

Sumber : PAHANGMEDIA

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 39 kali.


Kembali ke Atas