Berita

'Aku Guru Rimba'

pena_chu

JERANTUT, 31 Oktober 2021 - Demi tugas serta tanggungjawab digalas sebagai pendidik rimba, cabaran serta rintangan diharungi tanpa sedikit pun rasa menyesal. Keikhlasan menebal menjadi senjata untuknya melangkah sambil menaiki bot panjang, tidur dalam khemah di hutan serta makan ala kadar sebagai mengalas perut sahaja.

Episod berkenaan dilalui guru, Mohammad Amin Othman, 24, yang juga individu tunggal di negeri itu diberi tanggungjawab mendidik 35 kanak-kanak Orang Asli suku kaum Batek Kampung Cangkung, Kuala Keniang di sini.

Sekolah buluh disediakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sahabat Jariah Malaysia pada tahun lalu kini menjadi kelas untuknya mengajar kanak-kanak terbabit membaca, menulis dan mengira pada Selasa dan Rabu setiap minggu.

Dia seronok dan berbangga kerana berpeluang mengajar kanak-kanak Orang Asli suku kaum Batek berusia antara tiga hingga 16 tahun yang mendambakan pendidikan secara formal walaupun tinggal jauh di pedalaman.

"Untuk sampai ke Kampung Cangkung yang terletak dalam kawasan hutan Taman Negara Kuala Tahan memerlukan perjalanan menaiki bot panjang selama lebih sejam bergantung kepada paras air Sungai Tahan.

"Saya mengajar di sekolah buluh pada Selasa dan Rabu setiap minggu, saya perlu bermalam di Kampung Cangkung. Khemah dipasang di tepi sungai sambil makan ala kadar sahaja.

"Mengajar kanak-kanak Orang Asli memerlukan kesabaran tinggi sambil menggunakan teknik tertentu bagi memastikan mereka mudah faham serta ingat apa diajar.

"Setiap minggu saya perlu ke rumah mereka untuk memujuk kanak-kanak supaya datang ke sekolah, saya juga perlu nasihatkan ibu bapa mereka supaya menyuruh anak mereka ke sekolah," katanya yang berasal dari Bukit Ibam, Rompin.

Katanya, bagi menjayakan kelas rimba Batek dia perlu menggunakan pelbagai kaedah termasuk teknik pedagogi khusus untuk mengajar kanak-kanak termasuk murid pribumi di negara ini. Bermula daripada memujuk ke sekolah diikuti menyediakan hadiah, berhibur dan mandi sungai sambil mengadakan aktiviti seperti berenang dam membuat rakit.

Menurutnya, ketika mengajar, suara tidak boleh terlalu tinggi dan berkasar bagi mengelak kanak-kanak merajuk seterusnya tidak berminat meneruskan persekolahan yang berkonsepkan santai sambil berhibur.

Mohammad Amin menambah, dia perlu mengikut kehendak kanak-kanak berkenaan, proses belajar di sekolah buluh hanya mengambil masa antara satu hingga satu setengah jam dan tak boleh lebih daripada itu.

Terlalu lama belajar mereka bosan dan bertindak meninggalkan kelas.

"Saya sentiasa berusaha memujuk dan memuji kanak-kanak berkenaan supaya mereka minat belajar walaupun penerimaan pendidikan agak perlahan, bantuan mengajar seperti buku dan gambar disediakan setiap kali berada di sekolah.

"Sejak saya mengajar di sekolah buluh perkembangan positif dapat dilihat apabila beberapa kanak-kanak dapat mengenal nombor dan huruf, sebagai guru saya berbangga dengan pencapaian itu.

"Minat belajar juga semakin hari semakin bertambah terutama dengan sokongan ibu bapa mereka mula sedar pentingnya pendidikan," katanya yang mendapat sokongan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jerantut.

Mohammad Amin yang mengajar di sekolah buluh sejak Februari lalu berkata, bahasa turut menjadi cabaran ketika mengajak kanak-kanak Orang Asli suku kaum Batek, dia tidak mahir bertutur bahasa mereka.

Katanya, bagi mengeratkan lagi kemesraan dengan kanak-kanak berkenaan dia perlu mempelajari bahasa mereka antaranya, 'keboh' (sapa nama), 'madui' (di sini), 'cip' (pergi) dan 'ces' (kenapa).

Beliau menambah, sifat pemalu kanak-kanak Orang Asli suku kaum Batek turut menjadi cabaran terutama pada peringkat awal sekolah buluh dibuka, namun kini kanak-kanak berkenaan mula menerimanya.

"Selain mengajar sekolah buluh, saya turut mengajar Bahasa Melayu bagi murid kelas tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pagi. Usaha Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang untuk menempatkan 24 kanak-kanak Orang Asli suku kaum Batek di asrama SK Kampung Pagi diharap menjadi kenyataan suatu hari nanti.

"Impian saya ingin melihat kanak-kanak Orang Asli suku kaum Batek yang sebelum ini ketinggalan dalam bidang pendidikan dapat menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira) suatu hari nanti seterusnya bersaing dengan kaum lain.

"Sokongan Jabatan Pendidikan Pahang, PPD Jerantut, Jakoa dan NGO dapat melancarkan usaha memberi pendidikan kepada golongan muda masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman negeri ini," katanya yang berketurunan Orang Asli suku kaum Jakun.

Artikel Penuh : https://www.hmetro.com.my/utam...

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 6 kali.


Kembali ke Atas