Berita

Hujan Lebat, Enam Kenderaan Tenggelam, Kuala Tahan 'digegar' Kepala Air

pena_chu

JERANTUT 13 Julai 2020 - Belum lagi reda wabak COVID-19 yang masih dalam tempoh pemulihan, Taman Negara Kuala Tahan dekat sini yang baru dibuka kepada umum 'dikejutkan' pula dengan kejadian banjir hari ini.

Kejadian itu dilihat antara tanda awal banjir akan melanda penempatan dan pusat peranginan di pesisir sungai di negeri ini menjelang penghujung tahun memandangkan keadaan cuaca tidak menentu sudah bermula bulan ini

Kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu menyebabkan lima daripada enam buah kenderaan milik pelancong yang diletakkan berhampiran restoran terapung ditenggelami air.

Kenderaan mewah yang ditenggelami air berkenaan adalah milik pelancong 'expatriate' warga Perancis, United Kingdom dan China yang mengunjungi dan menginap di Mutiara Taman Negara Resort (MTNR) sejak semalam.

Turut ditenggelami air ialah sebuah kenderaan milik penduduk tempatan yang mengalami kerosakan teruk akibat kejadian itu.

Kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu berpunca hujan lebat di kawasan Hulu Tembeling sejak semalam menyaksikan 'kepala air' Sungai Tembeling dan Sungai Tahan 'bertembung' menyebabkan air naik begitu pantas sehingga menenggelamkan kenderaan yang diletakkan berdekatan restoran terapung dan jeti utama taman itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kuala Tahan, Abdul Jalil Abdul Rahman berkata, kejadian itu mengejutkan penduduk dan pelawat di taman itu sekalipun hujan cuma hanya renyai-renyai sejak semalam.

"Kejadian banjir begitu pantas pagi ini berpunca hujan lebat di kawasan Hulu Tembeling dan berlakulah pertembungan 'kepala' air Sungai Tembeling dan Sungai Tahan menyebabkan paras (limpahan) kenaikan air, serta arus deras.

"Penduduk di sini segera menarik kenderaan yang hampir tenggelam ini ke tempat yang lebih tinggi bagi mengelakkan dihanyutkan air deras," katanya ketika dihubungi PahangStory hari ini.

Menurut Abdul Jalil, turut bergegas ke tempat kejadian pagi ini, iaitu Pegawai Daerah Jerantut merangkap Pengerusi Bencana Alam daerah, Khairun Nissa Aris; Ketua Polis Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan dan Penghulu Mukim Tembeling Tengah, Zulkefly Zaadun Zabir.

Beliau berkata, JKKK sudahpun menghubungi anggota bomba dan penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia untuk tindakan selanjutnya serta langkah bantuan tertentu.

Dalam perkembangan yang sama, Abdul Jalil menasihatkan pelawat perlu meletakkan kenderaan masing-masing di tapak parkir yang disediakan dan lebih selamat.

"Elakkan atau jangan meletakkan kenderaan di tepi sungai berdekatan jeti dan restoran terapung, manakala Majlis Daerah Jerantut tidak bertanggungjawab atas kehilangan atau kerosakan akibat banjir," ujarnya.

Foto : Komuniti Kuala Tahan
Sumber : PahangStory

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 180 kali.


Kembali ke Atas