Berita

Kutipan Hasil di Pahang Cecah RM750 Juta - MB Pahang

pena_chu

JERANTUT, 26 Jun 2022 - Kutipan hasil negeri Pahang mencecah RM750 juta setakat 22 Jun lepas, menghampiri sasaran kutipan RM1 billion pada tahun ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata ia dapat dicapai apabila kerajaan negeri berjaya menguruskan ketirisan dan kebocoran, selain mencari peluang yang ada tanpa membebankan rakyat, antaranya menerusi kutipan cukai daripada agensi yang menggunakan tanah milik kerajaan negeri.

"Hasil berkenaan kelak akan dikembalikan semula kepada rakyat dalam pelbagai bentuk sumbangan dan bantuan, selain melaksanakan projek pembangunan negeri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri Pahang Tahun 2022 Sempena Sambutan 100 Tahun Gerakan Koperasi di Malaysia di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang Dato' Haji Nazri bin Ngah dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Pahang, Radiatul Fitri Dollah. 

Pada tahun 2019, Pahang memperoleh hasil sebanyak RM847 juta, meningkat kepada RM850 juta pada 2020 dan RM866 juta tahun lepas.

Terdahulu dalam ucapannya Wan Rosdy berkata kerajaan negeri meluluskan peruntukan berjumlah RM1 juta tahun ini untuk disalurkan kepada Gerakan Koperasi Pahang. 

Sementara itu  Radiatul Fitri berkata pihaknya bercadang untuk menubuhkan gabungan koperasi peringkat daerah bagi membantu kerajaan meningkatkan pengeluaran makanan negara untuk mengelakkan krisis makanan.

“Kami telah berbincang dengan koperasi di daerah-daerah dan salah satu daripada perancangannya ialah menggabungkan penternak ayam sedia ada di Pahang untuk membentuk koperasi,” katanya.

Setakat 31 Dis lepas, 1,180 koperasi berdaftar di Pahang dengan kekuatan anggota hampir 300,000 orang.

Sumber : BERNAMA
BERNAMA - Kutipan hasil di Pahang cecah RM750 juta - MB

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 8 kali.


Kembali ke Atas