Berita
Mayat Uqail Iskandar Dijumpai
JERANTUT, 06 Januari 2021 - Penduduk kampung menemui mayat Uqail Iskandar Zulkarnain, 23, yang hilang sejak Ahad lalu di Sungai Puas, dekat Kampung Gintong, pagi tadi. Ketua Kampung Gintong, Hasan Ashary Hitam, 64, berkata, mayat ditemui penduduk, Halim Hamzah, 30, yang ke sungai untuk meninjau keadaan air pada jam 7.30 pagi.
Menurutnya, Halim berperahu berseorangan sebelum ternampak objek terapung.
"Dia kemudiannya mendapati objek itu mayat mangsa yang dicari sebelum segera memaklumkan kepada orang ramai," katanya.
Uqail Iskandar yang juga pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) bersama bapanya, Zulkarnain Hitam, 58, iaitu kakitangan Pejabat Hutan Jerantut dihanyutkan air deras ketika berjalan pulang ke rumah di Kampung Gintong bersama dua anak pada jam 10.30 malam, Ahad lalu.
Dua lagi anak Zulkarnain iaitu Umar Iskandar, 17, dan Usyair Iskandar, 13, terselamat dalam kejadian itu. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, mayat dibawa ke Hospital Jerantut bagi urusan bedah siasat.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat membabitkan pelbagai agensi ditamatkan hari ini.
Sumber : https://www.hmetro.com.my/
Kembali ke Atas