Berita

Taman Negara Kuala Tahan Kembali Dikunjungi Pelancong

pena_chu

JERANTUT, 22 Oktober 2021 - Penggiat pelancongan di Taman Negara, Kuala Tahan di sini melahirkan perasaan gembira kerana mereka kini kembali mencari rezeki bermula 12 Oktober lalu selepas lokasi terkenal itu ditutup beberapa bulan akibat pandemik Covid-19.

Sejak kembali beroperasi pada 12 Oktober lalu, kehadiran pelancong semakin meningkat khususnya dari luar Pahang pada hujung minggu selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri bermula 11 Oktober lalu. Timbalan Pengerusi Persatuan Pengusaha Pelancongan Taman Negara, Leftenan Komander (Bersara), Mohd Abdul Rani Harun berkata, situasi positif itu memberikan kelegaan buat penggiat pelancongan termasuk dirinya.

"Jumlah pengunjung yang datang amat menggalakkan sekali gus membantu pengusaha yang terjejas teruk sebelum ini. Saya sendiri pun lega kerana bilik penginapan di Tebing Guest House dan rumah inap desa milik saya mendapat permintaan baik daripada pelanggan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Abdul Rani berkata, pengunjung yang datang ke Taman Negara juga diminta untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan selain penggiat pelancongan.

"Bagaimanapun saya berharap beberapa masalah seperti kutipan sampah di sini dapat diatasi segera demi keselesaan pengunjung," ujarnya.

Dalam pada itu, pemilik Greenland Guesthouse, Afzal Abdul Aziz mengakui walaupun masih belum dapat beroperasi, namun dia lega kerana Taman Negara kini sudah mula dikunjungi pelancong.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my...
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 33 kali.


Kembali ke Atas